Seorang lelaki berkata semasa di balai lintang masjid, "Aku himpun duit ingat nak pi Mekah, duit dah cukup, tak boleh pi juga lagi. Dulu duit tak ada, tak boleh pi, la ni duit ada pun tak boleh pi juga" kita sembang sedikit hal ini.
Betul lelaki itu telah berusaha untuk pergi Mekah, tetapi ada satu usaha yang jauh lebih utama dari mengumpul duit. Berdoa semoga Allah menjemput dirinya menjadi tetamu Allah itu lebih utama kerana dengan jemputan Allah kita akan boleh berada di tanah suci, bagaimana itu terserah kepada kuasa Allah. Usaha mengumpul duit itu hanya sebagai ikhtiar dan bukti kesungguhan kita untuk pergi ke Mekah tetapi jika kita tidak sertakan dengan doa, berserah kepada Allah, jika kita tidak dijemput Allah, tetaplah kita tidak dapat ke tanah suci. Dulu orang kata ada duit boleh ke Mekah, sekarang ada duit pun belum tentu boleh pergi. Jadi, apa pun doa dibuka jalan, dipermudah hendaklah didahulukan dengan diiringi usaha ke arah itu. Jangan yakin Tabung Haji dah bagi tahun akan pergi, kerana kehendak Allah akan mengubahnya, mungkin lebih awal, mungkin langsung tidak sempat.
Begitu juga kepada perkara lain dalam hidup. Jangan study siang malam tonggang terbalik dengan yakin kita akan lulus dengan cemerlang, sedangkan doa tidak dirafak kepada Allah. Jangan yakin padi dibendang akan menjadi, pokok di dusun akan berbuah, pukat di laut akan mengena tanpa berdoa dan berserah kepadaNya. Jangan percaya jualan kita akan terus laris kerana Allah boleh melakukan apa saja jika kita menafikan kekuasaanNya. Jangan yakin bahawa apa yang ada dalam pinggan di depan menjadi rezeki kita, kerana mungkin ia tercicir sebelum masuk ke mulut. Kembalilah bergantung harap kepada Allah.
Kebanyakan kita terlupa dalam keghairahan berusaha, untuk berserah kepada Allah. Kita begitu yakin kita boleh, secara tidak sedar kita tidak bersandar kepada kuasa Allah, akhirnya bila gagal baru teringat kepada Allah. JIka kita gagal sedang kita yakin kita boleh berjaya, itu bermakna Allah memberi peringatan bahawa Dia mengatasi segalanya. Sebab itu jika gagal kita kena bersyukur, beristighfar bimbang kita tersilap dalam keyakinan. Buka yakin usaha kita akan berjaya, tetapi yakin bahawa Allah yang akan membantu menjayakannya.
Perkara ini melibtkan akidah yang halus, yang pakar motivasi kerap tercicir. Mereka yang kecewa kerana gagal, kerapkali adalah kerana tidak memahami bahawa usaha kita tidak menentukan kejayaan tetapi kehendak Allah akan menentukan segalanya. Akhirnya mereka menyalahkan Allah sebagai tidak mengizinkan. Hakikatnya bukan soal izin, itu hak Allah kepada hambanya, itu ketentuanNya. Allah menyebut kamu merancang dan Aku perancang, perancangan Aku lebih baik. Ayat ini jelas menunjukkan bukan soal izin, tetapi apa yang Allah tentukan itu lebih baik dari apa yang kita harapkan dan usahakan.
Kesimpulannya jangan mengeluh pada setiap perkara yang berlalu, jangan kecewa pada setiap usaha yang gagal, tetapi bersyukurlah pada setiap perkara dan beristighfarlah pada setiap kegagalan dalam berusaha supaya kita kembali mengikut perancangan Allah dan redha kepada ketentuanNYa.